Kg Buah Pala : DVD bukti janji akan diedar

Pertubuhan Penduduk-penduduk Kampung Buah Pala akan mengedarkan 20,000 keping cakera video digital (DVD) mengandungi rakaman janji yang dibuat oleh pakatan pembangkang kepada mereka dalam masa terdekat.

Penolong Setiausahanya, C. Tharmaraj berkata, rakaman yang dibuat oleh penduduk semasa kempen pilihan raya lalu itu turut dimuat turun ke laman web You Tube supaya orang ramai melihat dan mendengar sendiri semua janji yang dibuat.

Beliau berkata, mereka juga telah mencetak lebih 400 kemeja-T dan risalah mengandungi semua maklumat mengenai kampung tersebut sejajar usaha mempertahankan kampung mereka.

Pada pilihan raya umum tahun lalu, pemimpin pakatan pembangkang menjadikan Kampung Buah Pala sebagai bahan kempen dengan berjanji akan mengembalikan semula hak penduduk kampung itu sekiranya memerintah negeri ini.

“Apa yang kita kesal sekali ialah keengganan Ketua Menteri, Lim Guan Eng berjumpa kami semalam dengan alasan yang tidak boleh diterima langsung, seolah-olah mereka mempunyai agenda.

“Kita pun sudah tidak mahu jumpa Ketua Menteri, tunggu saja kita edar rakaman DVD itu ke seluruh negara, biar semua tahu apa sebenarnya dijanjikan mereka,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, sekumpulan 20 penduduk Kampung Buah Pala kecewa apabila pertemuan dengan Ketua Menteri yang ditunggu-tunggu sejak seminggu lalu gagal menyelesaikan masalah mereka.

Mereka yang tiba di Komtar kira-kira pukul 10.30 pagi terkejut apabila dimaklumkan oleh wakil Guan Eng bahawa hanya lima orang sahaja dibenarkan ke pejabat Ketua Menteri di tingkat 28 bangunan itu.

No comments:

Post a Comment

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP