Kad diskaun KTMB untuk pelajar mula dikeluarkan.



KUALA LUMPUR: Pelajar tempatan berumur 13 tahun dan ke atas kini boleh mendapatkan kad diskaun 50 peratus Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) untuk perjalanan jarak jauh secara percuma di semua stesen KTMB dan pejabat perkhidmatan antara bandarnya.

Kad diskaun itu yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dalam Bajet 2010 untuk membantu pelajar, mula dikeluarkan KTMB sejak semalam.

"Pengeluaran kad ini tertakluk kepada syarat dan kami berikan hanya untuk tempat duduk kelas kedua dan ekonomi sahaja," kata Pengurus Pemasaran Unit Perniagaan Strategik Perkhidmatan Antarabandar KTMB, Mohd Noordin Kimi kepada Bernama.

Kad ini layak diperoleh oleh pelajar sama ada mereka di sekolah menengah, institusi pengajian tinggi awam atau swasta, pelajar separuh masa atau pengajian jarak jauh.

"Semua pelajar layak, tidak kira daripada keluarga miskin atau kaya, selagi seseorang itu masih bergelar pelajar tidak kiralah penuntut Master atau Phd, mempunyai kad pelajar dan belajar di dalam Malaysia.

"Bagaimanapun pelajar maktab perguruan, jururawat, polis, tentera dan juga institut kesihatan perlu membayar harga kad sebanyak RM30 setahun," katanya.

Mohd Noordin berkata, kad itu juga boleh digunakan semasa musim perayaan tertakluk kepada syarat tempahan dibuat tidak kurang tujuh hari sebelum perjalanan.

Bagaimanapun, beliau berkata pelajar tidak perlu bimbang kerana KTMB sentiasa menambah gerabak keretapi bagi membolehkan mereka juga dapat membeli tiket tersebut pada musim permintaan tinggi.

Katanya, kerajaan telah meluluskan RM4 juta setahun kepada KTMB bagi mengimbangi kehilangan hasil pendapatan.

"Sebelum ini, kita ada kad konsesi pelajar yang kita kenakan RM30 setahun, tetapi kita tarik balik perkhidmatan kad itu dan sekarang kita beri percuma, maknanya KTMB telah kehilangan hasil," katanya.

Kad diskaun itu boleh didapati dalam masa sehari dari pejabat KTMB di KL Sentral dan tiga hari jika diperoleh dari cawangan lain.

Untuk maklumat lanjut, hubungi KTMB di talian 03-2279 8852 atau kunjungi laman web www.ktmb.com.my. - Bernama

No comments:

Post a Comment

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP