10,200 kerja menanti siswazah

PUTRAJAYA 11 Mei - Lebih 10,200 peluang pekerjaan menanti para siswazah pada Karnival Kerjaya dan Keusahawanan Graduan (K3G) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) selama tiga hari bermula pada 15 Mei ini.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, karnival anjuran kementeriannya itu sehingga kini menarik penyertaan lebih 600 syarikat termasuk 100 buah yang telah menawarkan pelbagai peluang pekerjaan.

Menurutnya, karnival itu bertujuan membuka peluang kepada para siswazah mencari pekerjaan serta peluang untuk meningkatkan pencapaian diri selain memberi ruang kepada syarikat-syarikat berkenaan mencari pekerja yang menepati kriteria industri mereka.

"Antara aktiviti yang dianjurkan ialah sesi temu duga, ceramah kerjaya dan keusahawanan oleh pakar-pakar dan tokoh dalam pelbagai bidang selain klinik resume,'' katanya.

Syarikat-syarikat yang mengambil bahagian pada karnival tersebut terdiri daripada 14 cabang industri seperti teknologi maklumat; pentadbiran dan sumber manusia; minyak dan gas; keusahawanan; pelancongan; pembinaan dan juga agensi pekerjaan.

Antaranya ialah AirAsia Bhd., Malaysia Airport Holdings Bhd, Malaysian Airlines, Petronas, Public Bank Bhd, Scomi Group Berhad, Sime Darby Berhad dan UEM Land Holdings Berhad.

"Kami berharap para siswazah akan merebut peluang dengan mengunjungi karnival ini bagi meninjau sendiri potensi kerja yang ditawarkan,'' tegasnya.

Menurut beliau, para siswazah juga boleh mencari ruang untuk terlibat dalam bidang keusahawanan kerana karnival itu turut disertai agensi pembiayaan keusahawanan.

Bagi memudahkan proses sewaktu karnival berlangsung, para siswazah boleh mendaftar secara online menerusi laman web www.mohe.gov.my dan hanya perlu membawa salinan resume sewaktu mengunjungi ruang pameran kerjaya.

Pendaftaran awal dengan resume yang lengkap akan memudahkan sesi temu duga di ruang pameran syarikat yang menjadi pilihan siswazah.

Sementara itu, sesuai dengan imej profesional, semua pengunjung karnival kerjaya dan keusahawanan terbesar di Malaysia itu diminta hadir dengan berpakaian kemas dan berketrampilan menarik.


Sumber - Utusan

No comments:

Post a Comment

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP