Pemuda Umno Anjur Kursus Pendidikan Politik

MELAKA, 17 Mei (Bernama) -- Kesemua Pergerakan Pemuda Umno negeri akan mengadakan kursus pendidikan politik untuk kepimpinan pemuda dan anggota jawatankuasa Pemuda bahagian masing-masing sebagai persiapan menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin berkata kursus berasaskan modul baru yang kini hampir siap digubal, dijangka dapat dimulakan pada hujung bulan depan.

"Kursus ini penting sebab saya telah menggubal satu modul baru yang tidak mengikut 100 peratus modul lama yang tidak hanya berpaksikan kepada sejarah apa yang Umno buat dulu tetapi sebenarnya melihat ke depan apa cabaran dan kemahiran yang perlu ada untuk menangani masalah masa depan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Pergerakan Pemuda Umno Melaka di sini, hari ini.

Khairy berkata pergerakan itu merancang untuk mengadakan kursus seumpamanya secara besar-besaran melibatkan kesemua Ketua Pemuda Umno bahagian di seluruh negara.

Beliau berkata setiap Pemuda Umno negeri diminta segera merangka dan melaksanakan program untuk mendekati generasi muda yang pertama kali akan mengundi pada pilihan raya umum ke-13 nanti.

Katanya pemuda Umno perlu menggubal program dan aktiviti lebih relevan kepada generasi muda dengan cara mengemaskini pendekatan yang digunakan selama ini.

"Saya nampak setelah saya pergi ke setiap negeri, saya nampak banyak program yang kita telah buat selama ini ia tidak relevan bagi generasi muda, ia relevan bagi generasi lama.

"Kita masih lagi buat program yang sesuai dan relevan dengan zaman dulu tetapi bukan untuk zaman celik IT (teknologi maklumat) yang mereka mendapat maklumat melalui laman blog, facebook dan sebagainya," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP