PM: Bertenang, jangan terlalu teruja...

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menasihatkan rakyat Perak supaya bertenang dan tidak terlalu teruja dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang mengisytiharkan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai menteri besar yang sah.
"Kita akan selesai segala masalah," kata Najib ketika diminta mengulas keputusan mahkamah tersebut.
Sesuai dengan keputusan Mahkamah Tinggi Rayuan Kuasa-Kuasa Khas Kuala Lumpur yang memutuskan Datuk Seri Nizar Jamaluddin masih Menteri Besar Perak yang sah, Barisan Nasional (BN) sebenarnya bertanggungjawab untuk melaksanakan keputusan tersebut.
Ini kerana dalam penghakiman yang disampaikan oleh Hakim, Datuk Abdul Aziz Abdul Rahim secara jelas menyebut bahawa jawatan Menteri Besar Perak tidak boleh dianggap kosong mengikut peruntukan Artikel 16(6) Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak. Malah beliau berkata, Nizar bukan sahaja tidak meletakkan jawatannya tetapi tiada undi tidak percaya dibuat terhadapnya pada persidangan Dewan Undangan Negeri. Menurut beliau, jika Barisan Nasional (BN) telah memperolehi sokongan majoriti ADUN, BN seharusnya memohon perkenan Sultan Perak untuk diadakan sidang khas bagi membolehkan usul undi tidak percaya terhadap Nizar dibuat.
“Memang pemohon (Nizar – berdasarkan perkembangan yang berlaku di Perak) telah hilang majoriti tetapi tiada undi tidak percaya dibuat terhadap Nizar di DUN. Mana-mana Menteri Besar yang telah dilantik, beliau hanya bertanggungjawab kepada DUN dan hanya boleh diturunkan sekiranya undi tidak percaya terhadapnya dalam sidang DUN,” kata Hakim itu lagi.
Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub ketika bagaimana jika BN yang kini pegang majoriti dengan 31 ADUN memohon kepada Sultan Perak agar diadakan sidang khas bagi mengemukakan undi tidak percaya. Beliau berkata, biarlah proses itu berlaku dan sebarang keputusan daripadanya sudah tentu akan diterima baik oleh semua pihak.
Berdasarkan kemungkinan tersebut, ada pemerhati politik yang merasakan BN kini sebenarnya mempunyai kelebihan untuk melaksanakan keputusan mahkamah tersebut. Ini kerana, dengan keputusan mahkamah itu, BN yang kini menguasai majoriti dalam DUN Perak boleh memohon kepada Sultan Perak untuk memanggil sidang khas dewan negeri itu bagi membolehkan usul undi tidak percaya dikemukakan. Sidang khas ini boleh diadakan kerana berdasarkan kepada kenyataan Nizar sendiri selepas keputusan mahkamah itu dimana beliau berkata, semua keputusan yang dibuat oleh Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Exconya akan dikaji semula kecuali keputusan mengadakan sidang DUN 7 Mei lalu yang boleh diterima.
Jika begitu bunyinya adakah ini juga bermakna beliau turut mengiktiraf perlantikan Datuk R. Ganesan sebagai Speaker yang mengendalikan sidang DUN yang dirasmikan oleh Pemangku Sultan Perak, Raja Dr Nazrin Shah Khamis lalu. Malah hasrat Nizar untuk membubarkan DUN Perak menimbulkan persoalan.Adakah beliau mempunyai sokongan DUN untuk berbuat demikian kerana 31 daripada 59 ADUN Perak berpihak kepada BN.Disebelah pakatan pembangkang 28.
Ada yang berpendapat, jika Nizar masih mahu terus mencadangkan pembubaran DUN, beliau perlu mendapat keputusan DUN terlebih dahulu kerana buat masa ini beliau menjadi Menteri Besar yang hanya mendapat sokongan 28 ADUN berbanding 31 ADUN yang menyokong BN. Semua ADUN BN itu tentunya tidak bersetuju dengan pembubaran DUN.
Disamping itu satu persoalan paling besar sekali apakah Sultan Perak akan bersetuju DUN dibubarkan.Kuasa penentu itu kini terletak ditangan baginda. Yang pasti sebelum ini - yakni semasa peralihan kuasa dari kerajaan Nizar kepada Dr Zambry awal Februari lalu baginda telahpun menolak permohonan Menteri Besar itu untuk membubarkan DUN.
Dalam pada itu,seperti kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak BN akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan mahkamah itu. Beliau berpandangan BN mempunyai kes yang kukuh dalam soal ini. Sebenarnya berbagai persoalan lagi masih terus jadi bahan spekulasi dan belum beres sekalipun Nizar kini sah dapat duduk balik kerusi Menteri Besar.

sumber - Agendadaily

No comments:

Post a Comment

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP